PERISTIWA MALIK BIN NUWAIRAH

Filed under: by: 3Mudilah

Di antara syubhat yang sering dimainkan oleh kaum kafir Rafidah tentang kesucian agama Islam adalah mereka menjadikan sebuah kisah yang masyhur dalam sejarah Islam semasa peperangan Riddah (peperangan memerangi orang-orang murtad) sebagai serampang dua mata untuk menjatuhkan maruah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a, Khalifah Umat Islam yang pertama dan Sahabat Rasulullah s.a.w yang paling baginda cintai serta seafdal-afdal manusia selepas Rasulullah s.a.w dalam umat ini demikian juga mencela kepribadian salah satu daripada Pedang ALLAH yang Dia hunuskan kepada kaum Musyrikin, Saidina Khalid bin al-Walid r.a.

Peristiwa ini dikenali dalam sejarah sebagai peristiwa Pembunuhan Malik bin Nuwairah yang dilakukan oleh Khalid bin al-Walid r.a di zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a.

Malik bin Nuwairah adalah petugas yang ditugaskan untuk mengumpul zakat dari kaumnya, Bani Hanzalah, namun apabila wafatnya Rasulullah s.a.w dan muncul gerakan nab-nabi palsu serta murtadnya kabilah-kabilah arab dan ada yang enggan membayar zakat (beranggapan zakat sudah tidak wajib lagi) maka Malik bin Nuwairah termasuk dalam kalangan mereka yang enggan menunaikan zakat.
Saidina Khalid bin al-Walid r.a adalah antara panglima yang diarahkan oleh Khalifah Rasulillah, Abu Bakar al-Siddiq r.a untuk memimpin ekspedisi Jihad menentang mereka yang murtad ini.

Riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Malik bin Nuwairah telah ditawan dalam pertempuran dengan mereka yang enggan membayar zakat lalu mereka dibawa kepada Khalid bin al-Walid r.a, kemudian berlaku percanggahan maklumat antara pasukan tentera yang menawan Bani Hanzalah ini, di mana pasukan yang dipimpin Abu Qatadah al-Ansari r.a menyatakan mereka mendapati Bani Hanzalah melaungkan azan dan solat bersama mereka sedangkan kumpulan yang diutuskan Khalid bin al-Walid r.a untuk mengintip Bani Hanzalah menyatakan bahawa mereka tidak melaungkan azan dan tidak pula menunaikan solat.

Lalu Khalid bin al-Walid r.a mengambil laporan yang dilaporkan oleh tentera pengintip kerana boleh jadi sahaja mereka ini menunaikan solat semasa tibanya pasukan Abu Qatadah al-Ansari r.a secara hiprokrit dan munafiq, maka beliau mengarahkan suapaya tawanan Bani Hanzalah ini termasuk Malik bin Nuwairah dihukum bunuh.

Namun, Abu Qatadah al-Ansari r.a tidak berpuas hati lalu segera melaporkannya kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a, lalu Abu Bakar al-Siddiq r.a melihat Khalid bin al-Walid r.a telah melakukan takwil dalam tindakannya ini dan tersalah maka Khalid tidak berhak dihukum namun Abu Bakar al-Siddiq r.a membayar diat dan membebaskan tawanan dan mengekalkan Khalid sebagai panglima kaum muslimin.

Kisah ini dikeluarkan oleh Khalifah bin Khayyat r.h dalam Tarikhnya [m.s 104-106, Darul Qalam-Muassalah al-Risalah] dengan sanad:

Pertama: Kata Khalifah:
وَحَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ أَبِي زَكَرِيَّا يَحْيَى بْنِ مَعِينٍ الْعَجْلانِيِّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ إِسْحَاقَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ
“Meriwayatkan kepada kami Ali bin Muhammad daripada Abu Zakariah Yahya bin Ma’ien al-’Ijlani daripada Sa’id bin Ishaq daripada ayahnya daripada Abu Qatadah”.

Pada matannya menceritakan kisah bagaimana Malik bin Nuwairah ditangkap dan berlakunya pertikaian berkenaan kedudukan Malik bin Nuwairah dalam kalangan tentera sehingga membawa kepada pembunuhan Malik bin Nuwairah.

Sanad peristiwa ini terdapat kedaifan kerana Ishaq bin Ka’ab bin ‘Ujrah adalah Majhul Hal dan tidak ada yang men-tsiqahkannya kecuali Ibn Hibban dalam al-Tsiqat.

Adapun Sa’id in Ishaq yang benar namanya Saad, dan dia Tsiqah, demikian Yahya bin Ma’in al-Ijlani adalah Yahya bin Ma’n al-Ansari, seorang yang tsiqah. Ali bin Muhammad pula adalah al-Madaini, Tsiqah dan dipercayai dalam khabar sejarahnya.

Kedua: Kemudian ada riwayat yang kedua dengan sanad:
 وَحَدَّثَنَا بَكْرٌ عَنِ ابْنِ إِسْحَاقَ قَالَ أَخْبَرَنَا طَلْحَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ عَنْ أَبِي قَتَادَةَ
“dan meriwayatkan kepada kami Bakar daripada Ibn Ishaq kata beliau: Memberitahu kepada kami Talhah bin Ubaidillah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar daripada Abu Qatadah”.

Sanad ini para perawninya adalah dipercayai, tetapi Talhah bin Ubaidullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar tidak bertemu dengan Abu Qatadah, maka terdapat irsal padanya.

Maka kedua-dua riwayat ini boleh saling kuat menguatkan yang menunjukkan bahawa punca Khalid bin al-Walid membunuh Malik bin Nuwairah adalah kerana tentera risikan mengesahkan bahawa Bani Hanzalah telah murtad dan tindakan Khalid ini adalah takwil dan ijtihad beliau, bukan membunuh kerana dendam atau kerana tamakkan isteri Malik sebagaimana yang diwar-warkan.

Ketiga: Adapun kisah Abu Qatadah r.a datang berjumpa Abu Bakar al-Siddiq dan melaporkan kejadian ini, Khalifah mengeluarkan dengan sanadnya:
وَحَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنِ ابْنِ أَبِي ذِئْبٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ
“dan meriwayatkan kepada kami Ali bin Muhammad daripada Ibn Abu Zi’b daripada al-Zuhri daripada Salim daripada ayahnya“.

Sanad ini Sahih kerana semua perawinya adalah Tsiqah, Salim adalah Salim bin Abdullah bin Umar dan ayahnya adalah Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.huma.

Tidak dinyatakan dalam riwayat-riwayat yang sahih dan dipercayai ini bahawa:
  • Khalid bin al-Walid r.a mengahwini isteri Malik Bin Nuwairah apatah lagi membunuh Malik kerana hendak berkahwin dengan isterinya.
  • Tidak ada dikhabarkan permintaan bertalu-talu dari Umar bin al-Khattab r.a supaya Abu Bakar r.a memecat Khalid apatah lagi meminta supaya Khalid dihukum Qisas.
  • Tidak ada kisah kononnya Khalid menjadikan kepala Malik bin Nuwairah sebagai tungku untuk diletakkan periuk untuk memasak.
Adapun kisah-kisah yang tersebar luas berkenaan peristiwa ini yang mengandungi 3 riwayat di atas semuanya tidak sahih berlegar riwayatnya pada Saif bin Umar al-Tamimi dan anak muridnya Syu’aib bin Ibrahim al-Kufi. [Tarikh al-Tabari, 3/276-280, Dar al-Turats, Beirut].

Saif bin Umar adalah Da’if walaupun merupakan Sandaran dalam riwayat sejarah. Syu’aib bin Ibrahim pula terdapat padanya Jahalah (kejahilan berkenaan kedudukannya) sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Zahabi r.h dalam Mizan al-Iktidal.

Demikian juga riwayat kononnya Umar bin al-Khattab r.a memarahi Khalid bin al-Walid r.a dan menyebutnya sebagai: “Musuh ALLAH” dan menuduh Khalid “merogol” isteri Malik bin Nuwairah serta meminta berkali-kali supaya Abu Bakar r.a memecat Khalid adalah riwayat yang tidak boleh dipakai sama sekali kerana dikeluarkan Ibn Jarir dengan sanad berikut:
حَدَّثَنَا ابْنُ حُمَيْدٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا سلمة، قال: حدثنا محمد بن إسحاق، عن طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ
Perawi dalam riwayat ini, Ibn Humaid dalah Muhammad bin Humaid bin Hayyan al-Razi, seorang yang da’if dan mempunyai keganjilan dan kata Imam al-Bukhari:
فِي حَدِيْثِهِ نَظَرٌ.
“Pada Hadisnya perlu diteliti”. [Lihat: Tahzib al-Kamal dan Siyar A'lam al-Nubala'].

Perkataan al-Bukhari ini adalah dianggap lafaz Tajrih martabat kedua menunjukkan hadisnya tidak boleh dipakai dan tidak akan menjadi kuat walaupun mempunyai mutaba’ah.

Kata Imam Ibn Khuzaimah r.h berkenaan tindakan Imam Ahmad bin Hanbal r.h memuji Ibn Humaid: “Jika beliau (Imam Ahmad) mengenalinya (Ibn Humaid) seperti mana kami mengenalinya, tentulah beliau tidak akan memujinya sama sekali”. [ibid].

Hasil daripada riwayat-riwayat asli dan tulen berkenaan peristiwa Malik Bin Nuwairah ini, kita dapati bahawa Khalid bin al-Walid r.a memang tidak berhak dihukum Qisas kerana tindakannya dilakukan dengan syubhah dan takwil sama seperti yang berlaku terhadap Usamah bin Zaid r.huma semasa beliau membunuh seorang lelaki yang mengucapkan Syahadah ketika hendak dibunuh kerana menyangka lelaki itu hanya berpura-pura untuk mengelak dibunuh. Rasulullah s.a.w amat memarahi tindakan Usamah r.a namun baginda tidak pula menghukum Usamah.

Peristiwa seperti ini juga berlaku semasa Rasulullah s.a.w mengutuskan Khalid bin al-Walid kepada Bani Juzaimah, mereka tidak tahu menyebut: “Kami masuk Islam” tetapi mereka berkata: “Kami ini Sabiah” di mana kalimah Sabiah digunakan oleh kaum musyrikin Quraish untuk mengejek Umat Islam.

Khalid bin al-Walid r.a tidak memahami maksud sebenar Bani Juzaimah yang mereka hendak menyatakan mereka masuk Islam tetapi difahami Khalid mereka mengejek Islam, maka Khalid membunuh mereka, apabila perkara ini dibawa kepada Rasulullah s.a.w, baginda menyatakan berlepas diri daripada tindakan Khalid dan membayar diat namun tidak pula menghukum Khalid r.a.

Maka tindakan Abu Bakar al-Siddiq r.a ini adalah sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w dan keputusan yang telah baginda laksanakan. Ini adalah sikap terpuji Abu Bakar dan termasuk fadilat beliau menunjukkan beliau sangat arif dan mahir akan hukum hakam yang pernah diputuskan Rasulullah s.a.w, maka tidak syak lagi beliau adalah orang paling berhak memegang tampuk Khilafah selepas Rasulullah s.a.w.

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Rujukan Tambahan:
  • Sahih wa Da’ief Tarikh al-Tabari, jil 8, Muhammad bin Tahri al-Barzanji, Dar Ibn Katsir.
  • Mukhtasar Minhaj al-Sunnah, Abdullah al-Ghunaiman, Dar al-Siddiq, Yemen.
  • Al-Hijaj al-Dahidoh li Syubuhat al-Rafidah, Abu Khallad al-Azdi, Dar Imam Ahmad, Mesir.

http://bahayairan.wordpress.com/tag/khalid-bin-al-walid/

0 comments: